
RAMLY FOOD PROCESSING SDN BHD merupakan sebuah industri Bumiputra yang
terkenal dalam industri pembuatan produk makanan yang berasaskan daging lembu,
ayam dan hasilan laut di mana ianya dikenali dengan jenama RAMLY.
Produk makanan ini telah diasaskan oleh Dato’ Haji Ramly Bin Mokni dan
isteri beliau, Datin Hajjah Shala Siah Bt. Abdul Manap pada tahun 1984 dan sehingga
kini ianya dijalankan. Ianya diasaskan dengan cetusan idea dan hasrat murni dari
pasangan ini untuk mengeluarkan produk yang halal, bersih dan bermutu. Oleh itu,
syarikat ini telah mempunyai kilang pemerosesan di Taman Perindustrian IKS,
Mukim Batu, Kuala Lumpur malah kilang tersebut juga turut menawarkan peluang
pekerjaan daripada pengurusan, pengeluaran hinggalah ke pemasaran produk. Disebabkan
itu, tidak asing lagi bahawa produk berjenama RAMLY ini begitu unggul di
pasaran Malaysia malah di persada antarabangsa juga.
Ramly Mokni merupakan seorang tokoh usahawan Melayu yang telah mengecapi
dan mencapai kejayaan dalam bidang keusahawanan dengan begitu cemerlang dan
patut diteladani oleh usahawan-usahawan bumiputera yang lain. Kejayaannya bukanlah dapat dinikmati dalam sekelip mata, tetapi terpaksa
mengharungi dengan pelbagai cabaran dan halangan. Dengan berbekalkan keyakinan diri dan
ketabahan serta kecekalan hatinya, beliau telah dapat mengembangkan
perniagaannya dari gerai menjual burger sehingga membuka kilang untuk
mengeluarkan daging burger dari 300 keping sehari kepada 30 tan daging sehari
selepas 20 tahun dengan jualan tahunan kini mencatat RM100 juta.
Daripada pemerhatian beliau semasa bekerja sebagai pemotong daging di
sebuah pasar raya di ibu kota pada awal 1970an di mana kebanyakan makanan sejuk
beku yang tidak pasti halal haramnya, telah mencetuskan idea beliau untuk
menghasilkan daging burger dan sosej yang ditanggung halal untuk dimakan oleh
umat Islam di negara ini. Sifat beliau
ini jelas menunjukkan beliau adalah seorang yang bijak merebut peluang dan
berdaya kreatif dan inovatif serta berpandangan jauh. Selain itu, beliau tidak pernah putus asa
walaupun usahanya pernah diperlekehkan oleh masyarakat dan juga pihak bank yang
telah menolak permohonan pinjamannya.
Ramly mengembangkan perniagaannya dengan menghasilkan produk-produk lain
termasuk nuggets, fritters termasuklah jejari dan bebola daging dan ayam.
Jenama Ramly Burger bukan sahaja terkenal di Malaysia malah di Singapore juga.
Ramly juga telah dinobatkan sebagai Usahawan Melayu Cemerlang pada tahun
2006. Beliau telah membuktikan bahawa sesiapa sahaja boleh berjaya walaupun
dirinya tiada ijazah atau dari golongan keluarga ahli perniagaan. Bagi beliau
kemahuan, tekad dan komitmen yang jitu telah membawanya ke gerbang kejayaan.

No comments:
Post a Comment